LANTAI T. PINKIE

CINTA ANTARA MANUSIA TIDAK PERNAH MATI JIKA IA BENAR-BENAR JUJUR! BAGAIMANA PULA UNTUK MELIHAT KEJUJURAN ITU?

Friday, January 13, 2006

BERITA HARIAN, 13 JAN '06


Pinkie Masuk Istana
Oleh Farihad Shalla Mahmud
Dia ada nama hebat dalam dunia peragaan dan dunia filem. Gayanya bersahaja serta lentuknya yang memukau di hadapan lensa kamera mengagumkan banyak pihak. Bakat lakonannya pernah mendapat pengiktirafan tetapi ada gundah dalam hati Nasha Aziz.
Tidak pernah terlintas dalam hatinya untuk membabitkan diri dalam satu lagi cabang seni lakonan - teater. Malah sehingga kini tawaran daripada aktivis teater Siti Rohayah Attan untuk dia membintangi teater popular, Lantai T. Pinkie karya Sasterawan Negara, Datuk A .Samad Said juga diibaratkan satu mimpi buatnya.

“Ya, memegang watak Pinkie membuatkan hidup saya tidak senang. Susah untuk gambarkan perasaan saya ketika ini. Saya risau kerana bimbangkan bagaimana penerimaan khalayak ramai terhadap lakonan saya dalam teater ini. Walaupun sudah hampir tujuh tahun membabitkan diri dalam bidang lakonan namun perasaan gementar itu tetap ada. Penonton filem dan penonton teater, banyak perbezaannya”, kata model jelita ini memulakan bicara.
Secara jujur, Nasha memberitahu selepas menyaksikan teater itu menerusi video cakera padat, dia lebih menyenangi watak Musalmah dan juga Nyai Sunarti kerana peranan itu lebih dekat dengan jiwanya.
Bagaimanapun, beliau akur dengan kehendak penerbit Siti Rohayah Attan serta pengarah Rosminah Mohd Tahir yang mahukannya memegang watak yang pernah diterajui Tiara Jacquelina dalam pementasan sebelum ini.
“Mereka sudah membuka mulut untuk melamar saya memegang watak Pinkie namun saya belum lagi memberikan kata putus sama ada mahu menerima atau tidak. Skrip pun saya belum terima dan hanya mengetahui serba sedikit jalan ceritanya menerusi perbincangan dengan kedua-dua orang kuat teater terbabit”, jelas Nasha.
Ketika ditanya mengapa dirinya seakan berat untuk membuat keputusan, Nasha membuka rahsia bahawa dia sebenarnya tidak pandai menari. “Sebagai perempuan joget bernama Pinkie, bererti saya perlu menari. Inilah yang merisaukan saya kerana saya tidak ada asas dalam bidang itu. Mungkin ramai yang beranggapan sebagai model saya terdedah dengan cabang seni itu tetapi dalam teater ini saya perlu menari dalam pelbagai rentak lagu.
“Apa yang anda saksikan tadi adalah hasil hasil latihan intensif saya selama dua setengah hari,” katanya yang ditemui selepas majlis pelancaran Produksi Musim 2006 di Istana Budaya, baru-baru ini.
Pada majlis itu, Nasha bersama pelakon lain seperti Vanidah Imran, Safura Yaacob, Zuhairi Ibrahim turut mempersembahkan sebuah sketsa pendek berdasarkan teater itu. Melihat pada gaya tariannya yang cukup lincah di pentas joget walaupun berlatih dalam masa singkat, kelibat Nasha nyata tidak menghampakan penonton yang hadir. Malah, jika Nasha terus mendapat bimbingan daripada mereka yang berpengalaman, namanya dalam bidang teater pasti akan mekar sebagaimana kehadirannya dalam industri perfileman negara.
Walaupun masih berteka-teki, pelakon filem Laila Isabella dan Trauma ini berpendapat sebagai pelakon, peluang seperti itu tidak seharusnya dilepaskan. Tegasnya, secara tidak langsung kemahirannya dalam bidang lakonan akan dapat dipertingkatkan.
“Apapun keputusan yang bakal saya lakukan... biarlah ia lambat untuk diputuskan asalkan pasti. Jadual latihannya hanya akan bermula pertengahan Mac ini. Masih ada waktu untuk saya membuat keputusan yang bijak. Paling penting, apabila saya mengambil keputusan untuk menerima watak ini, saya sebenarnya mencabar diri saya sendiri. Itulah yang amat saya banggakan”, ujarnya dengan penuh bermakna.
BIODATA NAMA PENUH: Noraishah Aziz
NAMA KOMERSIL: Nasha Aziz
TARIKH LAHIR: 14 Mei 1971
KERJAYA: Model, Pelakon FILEM: Kad Cinta, Bara, Laila Isabella, Trauma, Buli, Buli Balik
PENCAPAIAN: Anugerah Bintang Harapan Festival Filem Malaysia Ke-14 dan Pelakon Wanita Terbaik FFM 17

0 Comments:

Post a Comment

Links to this post:

Create a Link

<< Home