LANTAI T. PINKIE

CINTA ANTARA MANUSIA TIDAK PERNAH MATI JIKA IA BENAR-BENAR JUJUR! BAGAIMANA PULA UNTUK MELIHAT KEJUJURAN ITU?

Sunday, January 15, 2006

HARIAN METRO, 12 JANUARI `06


Produksi tempatan fokus 2006 Istana Budaya
Oleh Mohd Nasif Badruddin
mnasif@hmetro.com.my
KEJAYAAN Istana Budaya (IB) menjadi tuan rumah untuk pelbagai acara berprestij sepanjang 2005 membuktikan ia mampu menjadi pentas bertaraf dunia bagi kegiatan seni di negara ini. Apa tidaknya, antara acara unggul yang diadakan tahun lalu seperti Malam Pembukaan Festival Filem Asia Pasifik ke-50 mendapat pengiktirafan ramai, begitu juga dengan konserto solo Ramli Sarip yang mendapat pujianpelbagai pihak.
Sebagai meneruskan kejayaan ini, pelbagai program diatur bagi merancakkan lagi aktiviti seni di pentas IB bagi musim 2006. Setakat ini 19 produksi sudah mengesahkan penyertaan mereka.
Pementasan Teater Muzikal Puteri Gunung Ledang yang akan membuka tirai IB dengan persembahan sulung pada 7 hingga 26 Februari ini pastinya dinanti-nantikan. Teater yang diadaptasikan daripada filem Puteri Gunung Ledang ini menampilkan Datin Seri Tiara Jacquelina dan Stephen Rahman Hughes sebagai teraju utama.
Sebagai menguar-uarkan pengisiannya, satu majlis pelancaran Produksi Musim 2006 disempurnakan Ketua Setiausaha Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KeKKWa), Datuk Siti Azizah Abod di IB, baru-baru ini.
Hadir sama Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas),Datuk Jins Shamsuddin, Ketua Pengarah IB, Azhar Abu Bakar, Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said, Datuk Seri Effendi Nawawi serta pengarah dan artis yang terbabit untuk persembahan 2006.
Azizah berkata, pada awal penubuhan IB pelbagai tanggapan diberikan orang ramai hingga menyifatkannya sebagai projek gajah putih.
"Ramai juga yang menyatakan IB hanya diadakan khusus untuk kaum Melayu sahaja, terlalu elit dan penggiat teater dari luar Lembah Klang tidak diberikan peluang untuk mementaskan karya mereka di IB.
"Namun sesudah pelbagai usaha dan penerangan diberikan, ia menunjukkan hasil sebaliknya. Malah IB mendapat pujian ramai sama ada di peringkat tempatan mahupun antarabangsa," katanya.
Katanya lagi, pengisian aktiviti 2006 menampakkan variasi program yang pelbagai seperti teater muzikal, konsert solo, orkestra dan pelbagai lagi. Ia diharapkan dapat menarik minat pelbagai kaum untuk berkunjung ke IB.
"Selaras dengan program merakyatkan seni sehingga ke akar umbi, IB perlu memainkan peranan yang lebih proaktif bagi menjayakan hasrat ini. Umpamanya setakat ini, sudah banyak pementasan teater yang diadakan di luar Lembah Klang mendapat sambutan yang cukup hebat.
"Malah IB juga menawarkan pelbagai insentif bagi merancakkan lagi aktiviti seni seperti pengecualian sewaan untuk pementasan teater pada kadar waktu tertentu.
"Selain itu, saya juga menyeru sektor swasta untuk turut sama membantu pembangunan industri seni tempatan kerana sebelum ini mereka banyak membantu produksi luar," katanya.
Azhar pula berkata, IB banyak menerima tempahan untuk menggunakan kemudahan IB, namun hanya segelintir sahaja yang sudah memberikan pengesahan.
"Setakat ini IB belum lagi menerima tempahan daripada produksi besar dari luar. Genre yang semakin menarik perhatian ramai ketika ini ialah teater muzikal. Justeru, kita akan memberi perhatian khusus untuknya. Malah kalendar 2006 banyak yang mementaskan corak teater muzikal.
"Fokus 2006 adalah untuk memberi peluang penuh kepada produksi tempatan,memandangkan tahun lalu banyak produksi luar yang mengadakan program di IB. Kita akan terus merancakkan usaha bagi menggilap IB selaras dengan temanya pentas bertaraf dunia," katanya.
Turut diadakan pada majlis itu ialah penyampaian permit masuk panggung yang disampaikan Azizah kepada penerbit produksi musim 2006.Selain itu, hadirin juga dihiburkan dengan selingan persembahan 2006 seperti Gemilang 60-an, Melodi Emas 2 Ahmad Nawab, Konsert Irama Melayu Asli, Aku Penghibur, Lantai T Pinkie dan Puteri Gunung Ledang.
Pelancaran program yang diadakan ini bukan sekadar merasmikan produksi 2006, malah ia adalah titik tolak kepada persembahan bermutu untuk santapan penonton. Turut mengisi agenda musim 2006 ialah Gemilang 60-an (14 hingga 16 April), Dramatari Artistana (21 dan 22 April), Lantai T Pinkie (28 April hingga 7 Mei), Irama Tanah Pusaka 2 (13 dan 14 Mei), French Arts Festival (19 Mei), Aku Penghibur-Jamal Abdillah (26 hingga 28 Mei) dan Lagenda Chini (7 hingga 11 Jun). Seterusnya Melodi Emas 2 Ahmad Nawab (16 hingga 18 Jun), KL Muzik Fest (1 hingga 5 Julai), Konsert Klasik OSK (10 dan 11 Julai), Malaysian Music-The Evolution (18 Julai) dan P Ramlee The Musical (28 Julai hingga 20 Ogos).Meneruskan lagi program, Konsert Nur Suara Kerohanian (16 dan 17 September), An Evening With NSO (6 November), Muzikal Pi Mai Mai Tang Tu (12 hingga 20 November), Konsert Irama Melayu Asli (25 dan 26 November), Konsert Simfoni Rakyat (8 hingga 10 Disember) dan Muzikal Kanak-Kanak AliBaba (16 hingga 24 Disember).
Sementara itu Nasha Aziz berkata, dia gembira kerana impiannya untuk membabitkan diri dalam teater pada 2006 tercapai kerana keinginan ini sudah lama tersimpan, cuma dia harus memastikan kemampuannya dari segimental dan fizikal terlebih dahulu.
"Masih banyak yang perlu saya pelajari untuk teater ini kerana ia adalah pertama kali bagi saya. Malah teater Lantai T Pinkie ini banyak memerlukan saya untuk menyanyi dan menari sebagai perempuan joget.
"Perasaan gementar itu masih lagi ada dalam diri seperti ada kupu-kupu dalam perut saya. Selain itu, saya berbangga kerana berpeluang bekerjasama dengan nama besar dalam teater seperti Siti Rohayah Atan, Rosminah Tahir dan Datuk A Samad Said serta pelakon berbakat lain," katanya yang terharu diberi penghormatan sebagai watak utama.
Bagi Jamal Abdillah pula, Konsert Aku Penghibur adalah sempena meraikan pahit maungnya terbabit selama 26 tahun dalam arena seni suara.
"Sepanjang karier saya jarang sekali diberi kepercayaan dan peluang sebegini. Inilah kali pertama saya membuat persembahan di IB sesudah tiga kali menyertai persembahan sebagai tetamu jemputan.
"Dalam persembahan selama dua jam ini saya akan menyanyikan rangkaian lagu popular saya sejak awal pembabitan dalam seni suara sehinggalah sekarang. Selain itu, saya juga akan mengundang beberapa artis lain untuk turut mengadakan persembahan sambil diiringi alunan orkestra," katanya

0 Comments:

Post a Comment

Links to this post:

Create a Link

<< Home