LANTAI T. PINKIE

CINTA ANTARA MANUSIA TIDAK PERNAH MATI JIKA IA BENAR-BENAR JUJUR! BAGAIMANA PULA UNTUK MELIHAT KEJUJURAN ITU?

Thursday, January 05, 2006

LATAR BELAKANG


Naskhah ini adalah sebuah naskhah pentas yang cermat dikerjakan, menangkap sebanyak kelaziman, semangat dan nuansa kehidupan dekad lima puluhan ketika Malaya masih Semenanjung Tanah Melayu dan ketika Singapura masih dalam wilayah Malaya. Cebisan kehidupan lama ini bakal menjadi sebahagian sumbangan antropologi, sosiologi dan sejarah tempat kita dapat menjengah dan belajar tentang sebahagian hati nurani bangsa.
Malah, Lantai T.Pinkie juga turut meninggalkan wajah dan semangat kehidupan masa lalu melalui bentuk kata dekadnya, klise hariannya, ini falsafah dan bayangan cita-cita insannya.
Lantai T.Pinkie pernah dipentaskan di Kuala Lumpur dan Singapura. Di Singapura ia dipentaskan oleh Kumpulan Teater Kami Singapura pada 5 dan 6 Jun 1996 di World Trade Centre Auditorium, Singapura sempena Pesta Seni Singapura 1996.
Manakala di Malaysia dipentaskan oleh Kumpulan Utusan Melayu pada 15 hingga 21 Mac 1997 di Auditorium Utama Kompleks Penerangan Pelancongan Malaysia (MATIC), Kuala Lumpur. Sambutan di luar dugaan itu menyebabkan ia diulang sekali lagi pada Mei 1997 di tempat yang sama oleh Kumpulan Utusan; juga di bawah arahan Rosminah Mohd, Tahir. Ia mencipta sejarah dalam pementasan teater Melayu kerana merupakan teater paling lama masa pementasannya iaitu tiga jam manakala tiketnya paling mahal iaitu RM40.
Antara pelakonnya ialah Tiara Jacquelina (T.Pinkie), Erma Fatima (Nyai Sunarti), Hani Mohsin (Muhairi Muda), Mazlan Tahir (Muhairi Tua), Umi Aida (Musalmah) , Juhara Ayob (Siti Udaya), Zaifri Husin (S.Diman), Ahmad Yatim (Jongkidin Jaroi), Marlia Musa (Puteh Su) dan Zuhairi Ibrahim (Loirin Sindu).
Pada 24-27 Ogos 2000, Persatuan Penulis Wanita Malaysia (PPWM) pula mementaskan Lantai T.Pinkie di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). Antara pelakonnya ialah Juhara Ayob (T.Pinkie), Shahriza Mahmud (Nyai Sunarti), Vanidah Imran (MUsalmah), Jasmin Hamid (Siti Udaya), Abu Bakar Omar (Jongkidin Jaroi), Zuhairi Ibrahim (Muhairi Muda), Mazlan Tahir (Muhairi Tua), Norzizi Zulkifli (Puteh Su), Azizi Mohd. Said (Lorain Sindu) dan Yussak Kassan (S.Diman).
Lantai T.Pinkie masih menjadi sebutan, idola dan apa saja yang menarik tentang dunia teater dan kehidupan silam. Ia seringkali dijadikan perbincangan, forum dan wacana serta tesis intelektual dalam mengkaji kehidupan zaman itu.

0 Comments:

Post a Comment

Links to this post:

Create a Link

<< Home