LANTAI T. PINKIE

CINTA ANTARA MANUSIA TIDAK PERNAH MATI JIKA IA BENAR-BENAR JUJUR! BAGAIMANA PULA UNTUK MELIHAT KEJUJURAN ITU?

Monday, March 20, 2006

Dari Mega - Utusan - 20 Mac 2006


Lantai T. Pinkie A. Samad Said di Istana Budaya
Oleh: MOHAMMAD ARIF NIZAM ABDULLAH
NASHA AZIZ akan membawakan watak perempuan joget yang didera suami dalam Lantai T.Pinkie yang akan dipentaskan di Istana Budaya selama 10 hari mulai 28 April ini.
SESI fotografi muka depan Mega kali ini memang unik dan nampak klasik kerana gandingan Nasha Aziz dan Datuk A. Samad Said belum pernah disatukan sebelum ini. Namun ekoran naskhah teater Sasterawan Negara itu yang berjudul Lantai T. Pinkie, kesempatan untuk mereka bergambar berdua datang pada petang Rabu lalu.
Simboliknya, watak T. Pinkie dalam naskhah itu menjadi milik Nasha selepas ia bertukar teraju sebanyak empat kali sebelum ini. Teater muzikal Lantai T. Pinkie akan dipentaskan di Istana Budaya bermula pada 28 April ini selama 10 hari.
Nasha yang mesra memanggil A. Samad Said sebagai ‘Bapak’ pada petang itu jelas teruja ketika bertemu penulis skrip teater Lantai T.Pinkie.
Kata Nasha, peluang bertemu secara dekat dengan A. Samad ibarat satu keajaiban. Dalam ribuan pencinta seni sastera tanah air yang mengagumi A. Samad, dia merasakan dirinya paling bertuah.
Sinonim dengan gaya dan keletah manja, raut wajah Nasha pada sesi fotografi petang itu memang berseri dan ceria. Kata Nasha: “Sebelum ini kalau jumpa bapak pada majlis-majlis, saya tengok dia dari jauh sahaja. Yang terbaru saya jumpa bapak ketika sidang akhbar teater Lantai T.Pinkie. Secara jujur, saya hanya tahu serba sedikit tentang lelaki bernama A. Samad Said.
“Bagaimanapun, saya memang bangga dengan semangat kreatif bapak. Beliau seorang yang kuat pemikiran dan sentiasa mencari ilmu di merata dunia.
“Bagi saya ini bukan fotografi biasa. Ia sangat eksklusif. Saya sedar ramai yang meminati bapak. Saya juga selalu tertunggu-tunggu apabila bapak bercakap kerana selain pengisian yang baik, bahasa yang dituturnya sangat cantik. Keindahan susunan ayat bapak adalah seperti pelangi walaupun maksudnya tentang keperitan dan kesengsaraan,” jelas Nasha panjang lebar.
Nasha turut bergurau tentang A. Samad. “Saya pasti ada yang mencemburui kami,” kata Nasha sambil ketawa nakal.
Menginjak ke bulan ketiga tahun 2006, kata Nasha, inilah pembaharuan pertama dalam kariernya. Gadis tinggi lampai itu mengidam sesuatu yang baru dan segar dalam hidup yang dia percaya akan diberikan Lantai T.Pinkie.
“Selepas 10 tahun terbabit dalam bidang modelling, saya beralih karier menjadi seorang aktres. Dan hari ini, saya sudah bersedia beraksi di pentas teater.
“Lantai T. Pinkie ialah teater pertama saya. Saya yang mencabar diri sendiri untuk watak ini,” kata Nasha dalam nada yakin dan bersemangat.
Bergelar aktres terbaik dan pelakon wanita popular, Nasha mempunyai hujah bernas mengapa bidang teater menjadi pilihan hatinya.
Teater melibatkan masa persediaan yang panjang selain penggunaan sepenuhnya potensi yang ada dalam diri seseorang pelakon.
Peragawati terkenal itu berkata, segala-galanya bersatu melalui naluri, emosi dan fizikal yang menguji kecekalan diri seorang pelakon teater.
“Berlakon teater berbeza dengan drama dan filem. Kalau dalam drama dan filem, pelakon boleh berlatih sendiri di rumah.
“Tetapi ketika berlakon teater saya perlu berlatih dalam satu pasukan. Ini membuatkan pelakon menjadi lebih kreatif selain dapat berkongsi idea bersama.
“Kepuasannya sama tetapi cabaran yang dihadapi sangat berbeza,” kata Nasha yang sedang giat berlatih melontarkan vokal dalam dialog sebelum memasuki fasa latihan seterusnya iaitu memahami teknik lagu dan tarian.
Menurut Nasha, dia perlu mengasah potensi yang ada dalam dirinya.
Mengakui dirinya bukan manusia yang sempurna, Nasha memberitahu, dia yakin akan memiliki semangat luar biasa apabila beraksi di atas pentas kelak.
“Saya sedar tanggungjawab yang dipikul ini adalah besar. Watak T.Pinkie mesti asli dan bukan ditiru. Saya harus berlatih dalam satu pasukan yang memahami skrip Lantai T.Pinkie.
“Bapak pun inginkan watak yang asli dan tiada sebarang tambahan. Saya mesti mengikut apa yang terdapat dalam skrip. Saya tidak sanggup menceroboh atau merosakkan karya besar Datuk A. Samad Said,” terang Nasha yang memulakan latihan pesat teater itu sejak 13 Mac lalu.
Sebagai seorang aktres, kata Nasha, senario sering dibanding-bandingkan bukanlah satu masalah baginya kerana dia harus berfikiran positif dengan apa kurniaan yang diberikan oleh Allah s.w.t..
“Anugerah yang diberikan oleh Allah s.w.t. kepada manusia adalah tidak sama dan sangat istimewa.
“Keserasian seseorang pun berbeza. Oleh itu, jangan berfikiran negatif dan suka membuat perbandingan antara saya dengan Tiara dan Juhara,” tambah Nasha yang semakin bijak berkata-kata.
Nasha sendiri pernah menonton Lantai T.Pinkie yang dilakonkan oleh Juhara ketika ia dipentaskan pada tahun 2000.
Dalam sejarah pementasan Lantai T.Pinkie, Tiara dan Juhara merupakan peneraju watak T.Pinkie sebelum ini yang berjaya membawakan watak perempuan joget itu dengan cemerlang.
Ditanya apakah kekuatan Lantai T.Pinkie hasil lakonannya berbanding Tiara dan Juhara, Nasha optimis tentang kejayaan yang bakal diraihnya.
“Lantai T.Pinkie kali ini memang berbeza kerana ia dipentaskan dalam bentuk muzikal dengan dialog pelakonnya disampaikan dalam bentuk nyanyian.
“Saya yakin Lantai T.Pinkie tetap diserbu penonton kerana sejarah membuktikan ia sentiasa mendapat sambutan ketika dipentaskan.
“Lantai T.Pinkie berdiri megah kerana kehebatan naskhahnya,” kata Nasha.
Kehebatan naskhah Lantai T.Pinkie sudah lama mengangkat darjat tinggi penulis tersohor A. Samad Said di persada sastera tanah air. Tentunya A. Samad merupakan orang yang paling tepat bila bercakap tentang watak T.Pinkie itu.
Berbual secara santai, A. Samad berkongsi pendapat mengenai pemilihan Nasha Aziz sebagai T.Pinkie barunya.
Menurut A. Samad, Nasha ialah seorang pelakon yang sudah teruji wataknya sebelum ini. Wajah dan figura Nasha amat sesuai dengan watak T. Pinkie itu.
“T. Pinkie mempunyai ciri seperti Nasha Aziz yang memiliki bentuk badan mengghairahkan sebagai seorang penari joget.
“Nasha sendiri barangkali sudah lama mengidam memegang watak itu dan saya percaya dia boleh melakukannya,’’ kata A. Samad.
Harapan A. Samad pada teater Lantai T. Pinkie bukan sekadar hiburan semata-mata.
Beliau mahu penonton mengambil teladan tentang dunia yang dilalui oleh watak-watak dalam teater itu yang memaparkan kesan sebuah masyarakat yang terhukum akibat peperangan.
“Ini yang saya cuba sampaikan kepada orang muda yang hanya sekadar membaca tentang peperangan melalui berita tetapi tidak tahu kebanyakan mangsanya adalah kaum wanita.
“Wanita-wanita itu mahu hidup untuk menyara anak-anaknya kerana kebiasaannya kaum lelaki mati ketika berperang. Oleh itu apa sahaja yang mudah akan dicapai untuk bekerja seperti menjadi penari kelab malam,” terang A. Samad.
Ditanya sama ada beliau akan datang menonton Lantai T.Pinkie bulan depan, ringkas jawapannya: “Bapak terpaksa datang menonton kerana telah dijemput. Bapak bukan sahaja meminati teater malah juga meminati filem dan drama.”
Siapa T.Pinkie?
T. PINKIE atau nama sebenarnya Tengku Seindahkuno ialah perempuan yang paling cantik dan terkenal di Bunga Joget Moden serta menjadi buruan ramai lelaki. T.Pinkie hidup duka sebagai perempuan joget di Singapura pada zaman 1950-an selepas Perang Dunia Kedua. Kehidupan T.Pinkie dan rakannya seperti Nyai Sunarti, Siti Udaya, Musalmah Jiing dan Puteh Sue Abdullah penuh lara. Mereka terpaksa melayani lelaki yang berkunjung ke kelab itu. Jongkidin Jaroi, Muhairi Tirus dan S. Diman adalah watak-watak yang mewakili zaman itu. Mereka bercakap tentang cinta, kasih sayang dan kehidupan tetapi tiada apa yang dapat dilakukan pada zaman yang penuh dengan linangan air mata dan derita. Mereka mempunyai sejarah kehidupan sendiri. Bukan sedikit derita menyelimuti mereka. Namun mereka juga perlu hidup seperti orang lain. Muhairi dan T.Pinkie masing-masing memiliki perasaan cinta yang mendalam tetapi tidak dilahirkan secara terus terang sehinggalah T.Pinkie didera oleh suaminya, Gunjoloh. Muhairi dan T.Pinkie ‘lari’ daripada kehidupan itu hingga ke Sarawak. Malangnya, kehidupan bahagia mereka sebagai suami isteri tidak kekal lama kerana selepas itu konfrontasi yang melanda antara Malaysia dan negara jiran meninggalkan catatan paling hitam dalam hidup Muhairi. Sekalipun akhirnya keseorangan, Muhairi tetap hidup bersama cinta dan kenangannya bersama T.Pinkie. Dia juga kembali mengenang T.Pinkie, kejahatan Gunjoloh, tawa dan tangis rakan-rakan apabila menyanyikan lagu Johor Sport Club. Bak kata T. Pinkie: “Lantai ini tempat kasut-kasut bercerita....”
Sejarah pementasan Lantai T. Pinkie
*Pertama kali dipentaskan oleh Kumpulan Teater Kami Singapura pada Jun 1996 sempena Pesta Seni Singapura 1996 di Singapura.
* Pertama kali dipentaskan oleh Kumpulan Utusan di Malaysia pada bulan Mac 1997.
* Sambutan yang di luar dugaan menyebabkan Lantai T.Pinkie diulang sekali lagi pada Mei 1997 di bawah arahan Rosminah Mohd. Tahir. Watak T. Pinkie ketika itu dipegang oleh ratu pentas teater, Tiara Jacquelina.
* Lantai T.Pinkie dipentaskan buat kali keempat pada Ogos 2000 juga di bawah arahan Rosminah Mohd. Tahir manakala watak T.Pinkie dibawa oleh Juhara Ayob.
* Selepas tujuh tahun menyepi, kini Lantai T.Pinkie kembali lagi bersama Nasha Aziz (T. Pinkie), Azizah Mahzan (Nyai Sunarti), Soong Ai Ling (Puteh Su Abdullah), Safura Yaacob (Siti Udaya) dan Vanidah Imran (Musalmah Jiing) di bawah arahan Rosminah Mohd. Tahir.
* Lantai T.Pinkie akan dipersembahkan dalam bentuk teater muzikal yang menggabungkan nyanyian, lakonan dan seni tari joget.

0 Comments:

Post a Comment

Links to this post:

Create a Link

<< Home