LANTAI T. PINKIE

CINTA ANTARA MANUSIA TIDAK PERNAH MATI JIKA IA BENAR-BENAR JUJUR! BAGAIMANA PULA UNTUK MELIHAT KEJUJURAN ITU?

Monday, March 20, 2006

DARI MEGA2-UTUSAN- 20 MAC 2006


Lantai T.Pinkie paparkan pengalaman bangsa Melayu
A.SAMAD SAID.
KARYA besar Lantai T.Pinkie adalah sebuah nostalgia yang menyorot kisah lara dan cita-cita bangsa Melayu selepas perang hasil nukilan penulis tersohor Datuk A. Samad Said. Lebih dikenali sebagai Pak Samad di kalangan orang sastera, sumbangannya kepada bangsa tertumpah dalam dunia penulisan sejak lebih 40 tahun lalu.
Kehebatan A. Samad telah menghasilkan Lantai T.Pinkie yang merupakan sebuah naskhah pentas yang terus menjadi sebutan tentang kehidupan masa silam yang resah. Lantai T.Pinkie seringkali dijadikan perbincangan pada forum dan wacana dan menjadi panduan perbicaraan intelektual tentang kehidupan zaman 1950-an di Malaysia dan Singapura.
Kepada MEGA, A. Samad Said, 71, membongkar misteri yang tersembunyi di sebalik naskhah teater hebat itu yang tidak lapuk dek peredaran zaman dan menjadi rujukan sejarah bangsa Melayu. A. Samad diinterviu oleh wartawan Mohammad Arif Nizam Abdullah.
Bolehkah Datuk ceritakan latar belakang naskhah Lantai T.Pinkie?
A. Samad SAID: Lantai T.Pinkie merupakan skrip asal untuk drama pentas yang kemudiannya diterbitkan dalam bentuk buku oleh Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 1996. Sebenarnya saya telah dihubungi oleh rakan dari Singapura, Roslan Badron dari Kumpulan Teater Kami Singapura yang meminta bantuan menulis skrip untuk satu persembahan teater sempena Pesta Seni Singapura 1996 di Singapura. Pada mulanya mereka inginkan drama berkisah tentang kehidupan di Singapura. Tetapi saya beritahu mereka saya hanya mengetahui kisah sebelum tahun 1957, bukannya selepas itu. Dan jika beliau bersetuju, skrip drama itu saya akan kaitkan dengan kisah yang berlaku di Malaysia seperti di Sarawak.
Berapa lamakah Datuk menulis naskhah itu?
Saya mula menulis pada akhir tahun 1995 dan mengambil masa selama hampir tujuh bulan untuk menyiapkannya. Sebenarnya, menulis skrip drama bukan boleh terus menulis. Yang penting, saya kena tahu tentang dunia pentas joget. Dunia itu sudah biasa pada saya pada zaman kanak-kanak dan bujang. Ada pentas joget di New World, Singapura yang saya tahu hingga tahun 1956. Saya membesar di Singapura sejak tahun 1935.
Bagaimanakah Datuk mendapat idea menulis?
Idea menulis sudah ada sebab saya pernah berpengalaman bergaul dalam kehidupan yang berlegar di Singapura itu. Jadi ia agak mudah. Cuma soalnya bagaimana hendak memetik kenangan lama dan cuba memilih cebisan kenangan itu untuk dicantumkan menjadi sebuah drama. Wataknya ialah orang yang pernah saya temui tetapi tidak semesti orang yang dipentaskan adalah orang yang sama.
Apakah kekuatan Lantai T.Pinkie sehingga menjadi sebutan?
Saya tidak tahu kekuatannya di mana. Apa yang saya ingin beritahu Lantai T.Pinkie adalah berdasarkan pengalaman bangsa yang tidak pernah ditulis orang. Ia berkaitan dengan dunia perjuangan dan hiburan. Ia menjadi menarik mungkin kerana ia mengisahkan insan-insan yang tersangkut dalam dunia yang pilu ketika perang Jepun dan konfrontasi Malaysia dan Indonesia.
Bagaimana watak-watak dalam Lantai T.Pinkie dikembangkan?
Watak-watak itu terjerat dalam perjuangan. Angkatan muda mungkin tidak tahu tentang hal ini dan mungkin terpikat untuk mengetahui. Biasanya orang yang terjerat cepat berasa matang dan dewasa. Dalam perhubungan dialog, muncul fikiran yang penuh adunan hemah dan inti pelajaran antara watak untuk dijadikan sebagai hikmah dan pengajaran.
Kenapakah khalayak dapat menerima Lantai T.Pinkie?
Ia mungkin ada kekuatan dari segi dialog yang cantik dan berhemah secara sengaja atau tidak sengaja. Mungkin penonton lebih tertarik dan lebih memahami kalau membaca bukunya. Kata asli dialognya menjadi pembimbing. Walaupun sudah dipentaskan beberapa kali dengan permasalahan yang berat namun suasana teaternya menghiburkan kerana melibatkan pentas joget dan lagu.

0 Comments:

Post a Comment

Links to this post:

Create a Link

<< Home