LANTAI T. PINKIE

CINTA ANTARA MANUSIA TIDAK PERNAH MATI JIKA IA BENAR-BENAR JUJUR! BAGAIMANA PULA UNTUK MELIHAT KEJUJURAN ITU?

Tuesday, April 18, 2006

BERITA HARIAN, 18 APRIL '06


Pementasan Lantai T Pinkie Kenang Jasa Endon
Oleh Serimah Mohd Sallehuddin
TEATER muzikal Lantai T Pinkie yang akan dipentaskan bermula 28 April sehingga 7 Mei ini adalah karya besar tulisan Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said yang diterbitkan dalam bentuk buku oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Lantai T Pinkie pernah dipentaskan di Kuala Lumpur dan Singapura. Di Singapura ia dipentaskan oleh Kumpulan Teater Kami Singapura pada 1996. Manakala pada 1997 karya itu sekali lagi dipentaskan di Auditorium Utama Kompleks Penerangan Pelancongan Malaysia (Matic) membariskan Tiara Jacquelina, Erma Fatima, Hani Mohsin dan ramai lagi. Kemudian ia sekali lagi dipentaskan pada 2000 dengan pelakon berbeza iaitu Juhara Ayob, Shahriza Mahmud, Vanidah Imran, Jasmin Hamid dan ramai lagi.
Karya itu terus menjadi sebutan, idola dan apa saja yang menarik mengenai dunia teater dan kehidupan silam. Malah sering kali juga menjadi perbincangan, forum dan wawancara.Majlis pelancaran Lantai T Pinkie versi 2006 dirasmikan Timbalan Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Zahid Hamidi dan turut dihadiri pemilik karya Datuk A Samad Said, baru-baru ini. Matlamat utama pementasan ini adalah sebagai penghormatan atas sumbangan Allahyarham Datin Paduka Seri Endon Mahmood yang menjadi Penaung Persatuan Penulis Wanita Malaysia (PPWM) sejak ditubuhkan pada 1999.
Pementasan semula teater ini dalam bentuk muzikal juga sebagai simbolik tanda terima kasih atas kerja yang dilakukan sasterawan negara itu demi mempertingkatkan lagi martabat teater Melayu di negara ini.
Pengarahnya, Rosminah Mohd Tahir, berkata mengarahkan teater yang sama tidak ketinggalan memberi cabaran buat dirinya, apatah lagi beliau sendiri turut bertanggungjawab mengolah skrip untuk karya itu.
“Bukan mudah sebenarnya untuk mengolah skrip. Lagipun pementasan ini sudah dilakukan tiga kali dan ia dalam bentuk muzikal, justeru saya lakukan beberapa perubahan seperti pindahkan dialog menjadi muzik serta bagaimana untuk menjadikan dialog itu berlagu. Selain itu juga saya perlu melihat mengikut kesesuaian suasana dan gerakan.
“Lagu yang akan didendangkan pada pementasan ini akan menggunakan lagu sedia ada dan ada juga beberapa lagu baru. Sebanyak 20 lagu akan dipersembahkan oleh pelakon yang kebanyakannya menggunakan suara mereka sendiri. Tapi ada juga yang kita gunakan suara penyanyi lain sekiranya pelakon tidak mampu membawanya.
“Memandangkan bajet kecil, kita hanya rakam suara mereka. Kalau ada orkestra untuk persembahan muzik ‘live’, ia akan menambahkan lagi keistimewaan pementasan ini,” katanya.
Teater arahan Rosminah sebelumnya yang mendapat sambutan cukup menggalakkan ialah Puteri Hang Lipo yang mencatat jualan tiket box office. Lantai T Pinkie pernah dipentaskan sebelum ini juga mendapat perhatian. Namun, Rosminah tidak mahu meletakkan sebarang harapan tetapi memuji sikap pelakonnya yang begitu komited.
Lantai T Pinkie mengisahkan hidup lara perempuan penari joget di Singapura zaman 50 an, selepas Perang Dunia Kedua. Kehidupan mereka penuh lara dengan melayani lelaki yang berkunjung ke kelab. T Pinkie atau nama sebenarnya Tengku Seindahkuno adalah antara perempuan paling cantik dan terkenal di kelab Bunga Joget Moden, menjadi buruan lelaki termasuklah pemain arkodian, Muhairi Tirus.T Pinkie, Nyai Sunarti, Siti Udaya, Musalmah Jiing, Puteh Su Abdullah, Jongkidin Jaroi, Muhairi dan S Diman adalah watak yang mewakili zaman itu.
Mereka bercakap mengenai cinta, kasih saya dan kehidupan tetapi tiada apa yang dapat dilakukan di zaman penuh linangan air mata dan derita.Teater ini menampilkan Nasha Aziz, Zuhairi Ibrahim, Azizah Mahzan, Jalaluddin Hassan, Soong Ai Ling, Zifri Husin, Abby Abadi, Safura Yaacob dan ramai lagi. Ia akan dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya, Kuala Lumpur.
(PEMENTASAN INI DITERBITKAN OLEH PERSATUAN PENULIS WANITA MALAYSIA & CTRA PRODUCTION)

0 Comments:

Post a Comment

<< Home