LANTAI T. PINKIE

CINTA ANTARA MANUSIA TIDAK PERNAH MATI JIKA IA BENAR-BENAR JUJUR! BAGAIMANA PULA UNTUK MELIHAT KEJUJURAN ITU?

Tuesday, May 02, 2006

ARTIKEL UTUSAN MALAYSIA, 2 MEI '06

PENAMPILAN sulung Nasha Aziz di pentas teater sebagai
T.Pinkie yang bercerita tentang lara hidup perempuan
joget mendapat pujian para peminat teater.


Lantai T. Pinkie Ditransformasikan Dengan Berkesan
Oleh WANDA IDRIS

PENAMPILAN sulung Nasha Aziz di pentas teater sebagai T.Pinkie yang bercerita tentang lara hidup perempuan joget mendapat pujian para peminat teater.
LANTAI T. Pinkie akan terus berada dalam kelas yang tersendiri tidak kira apa juga tunjang persembahan seni pentasnya.Terkini, lantai itu menari lagi dengan pendekatan muzikal yang lebih ringan tanpa menjejaskan keaslian naskhah asalnya.
Ketika menyaksikan prebiunya di Istana Budaya pada malam Khamis lalu, ramai mengakui bahawa transformasi Lantai T.Pinkie daripada sebuah karya sastera total ke bentuk teater muzikal itu mengesankan.
Menampilkan 50 peratus nyanyian dan tarian, setiap bait lagu teater muzikal itu dilontarkan tanpa menjejaskan maksud sebenar dialog indah penuh makna naskhah nukilan Sasterawan Negara, Datuk A. Samad Said itu.
Namun, bukan mudah untuk merealisasikan karya besar yang mempunyai integriti tersendiri itu ke pentas muzikal. Ia diakui sendiri oleh pengarahnya, Rosminah Tahir, yang ditemui selepas pementasan itu.
Rosminah sudah mementaskan karya itu sebanyak tiga kali iaitu pada 1997 (sebanyak dua kali ekoran sambutan menggalakkan) dan sekali lagi pada 2000 bersama penerbitnya, Siti Rohayah Attan.
Biarpun sudah sebati dengan ‘T.Pinkienya’, menurut pengarah berusia 47 tahun itu, tidak mudah untuk mengangkat karya besar itu ke bentuk tarian dan nyanyian.
Tambahan pula karya asalnya yang mengambil masa selama hampir empat jam untuk dipentaskan itu perlu dipendekkan menjadi hanya dua jam pada pementasan kali ini.
“Cabarannya adalah apakah saya sanggup untuk membuang dialog-dialog indah dan penuh makna nukilan Pak Samad itu.
“Untuk bertanya kepadanya pun sudah menjadi kesukaran kepada saya kerana beliau satu nama besar dan siapalah pula saya.
“Tapi alhamdulillah... semuanya berjalan lancar dengan izin Pak Samad,” katanya sambil memberitahu dia sudah mula merancang untuk mementaskan Lantai T.Pinkie ke bentuk muzikal sejak enam tahun lalu.
Tidak kira apa jua bentuk pementasannya, lantai pentas joget itu tetap menjadi tempat kasut-kasut bercerita.
Cuma kali ini lantainya bertukar daripada pentas kecil ke pentas bertaraf dunia. Lantai T.Pinkie kali ini menyaksikan perubahan set. Dahulu ia berlatarkan bangunan papan, tetapi kini dikelilingi bangunan batu.
Didekati
A. Samad Said yang lebih mesra dengan panggilan Pak Samad turut menonton pada malam itu. Menurut Pak Samad, pementasan terbaru Lantai T.Pinkie itu menunjukkan sesebuah naskhah dan karya boleh didekati menerusi pelbagai cara.
“Semasa menulis dahulu, saya tidak pernah tergambar bahawa Lantai T.Pinkie boleh jadi begini. Justeru, saya berterima kasih kerana naskhah ini diberi nafas baru.
“Sekiranya ia berjaya, kejayaan itu bukanlah kerana saya sahaja kerana saya cuma menyumbangkan naskhah.
“Pengarah teater dan mereka yang terlibat dalam pementasan ini berusaha memanfaatkan naskhah ini,” katanya yang bangga kerana lagu-lagu pada persembahan itu memancarkan zaman dan ceritanya.
Kata Samad, dalam naskhah sebenar barangkali ada ungkapan yang membuatkan kita geli-geleman.
“Tapi dalam pementasan ini, ia dijinakkan dengan liriknya yang merumus dialog-dialog tertentu dan cara itu mungkin memudahkan ia lebih difahami,” ujarnya.
Beliau turut merasakan pementasan Lantai T.Pinkie kali ini memberi impak kepada beberapa babak, misalnya babak zaman konfrontasi yang direalisasikan melalui visual dan bunyi untuk membolehkan audiens memahami zaman itu.
Menyerlah
Model Nasha Aziz yang memegang watak T.Pinkie pula berbangga dengan keupayaannya merentasi masa untuk merasai gelora dan lara T. Pinkie yang diilhamkan oleh Pak Samad.
“Cabaran terbesar saya adalah untuk terus beremosi selama dua jam secara berterusan selain melontarkan bahasa tahun 1950-an yang susun bahasanya berlainan dengan zaman ini.
“Bukan itu sahaja, pada masa yang sama saya juga perlu menyanyi, menari dan berdialog,” kata Nasha yang mengakui begitu dekat dengan naskhah itu ketika ini.
Cuma sebagai penari joget bernama Tengku Seindahkuno yang digelar T.Pinkie kerana punggungnya tonggek, watak itu seakan-akan tidak bergerak pada beberapa babak awal.
Mungkin ia dilakukan untuk memberi laluan kepada watak-watak lain mendekatkan diri kepada audiens, antaranya watak Musalmah Jiing yang didukung Vanidah Imaran dan Siti Udaya (Abby Abadi).
Babak monolog Nyai Sunarti Rekno paling mengesankan. Malah sepanjang lebih dua jam pementasan itu, Nyai Sunarti yang digalas ke bahu Azizah Mahzan begitu menyerlah.
Soong Ai Ling yang memegang watak seorang gadis Cina mualaf bernama Puteh Su juga mengesankan. Begitu juga Jongkidin Jaroi yang dilakonkan oleh Jalaluddin Hassan, Muhairi Tirus (Zuhairi Ibrahim), S. Diman Lupti (Zaifri Husin) dan Safura Ya’acob walaupun dia sekadar menjadi penghias pentas dengan watak kecil penyanyi kabaret.
Sebanyak 25 buah lagu baru dan lama dipersembahkan hasil ciptaan Suhaimi Mohd. Zain atau Pak Ngah dengan lirik nukilan Rosminah. Tariannya pula direka tari oleh Anthony Meh.
Pementasan Lantai T. Pinkie diterbitkan oleh Persatuan Penulis Wanita Malaysia (PPWM) dan CTRA Production dengan kerjasama Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan dan Istana Budaya.
Ia dipentaskan selama 10 hari bermula 28 April sehingga 7 Mei ini dengan 11 pementasan termasuk satu show matinee.

3 Comments:

  • At Wednesday, May 03, 2006 10:02:00 AM, Anonymous Anonymous said…

    I'm there.....a really great show.... Love every second of the show.....
    Congartulations....to all the superb cast.... especially
    Azizah Mahzan with the "Indonesian Dialeg"...good job and also to the so ever fabulous NASHA..... we love u....

    Lantai T Pinkie with worth watching!!!!
    Thumbs up......

     
  • At Thursday, May 04, 2006 12:41:00 PM, Anonymous Miss Iena_n said…

    sy dah menonton teater ni..amat bagus dan hebat sekali lakonan yg ditampilkan...berbaloi dgn belanja utk tikey..watak nasha tidak begitu menyerlah pada awal cerita..tapi boleh dimaafkan kerana ini penampilan pertama dia...Azizah Mahzan amat menonjol...sangat2 berkesan...lagi2 dgn loghat jawa nya...terbaikk

    Terpesona dgn keayuan Pinkie
    Meluat dgn kerakusan Gunjolah
    Kagum dgn kehebatan Nyai Sunarti
    Tersenyum dgn kelembutan Puteh Su
    Terharu dgn Muhairu Tirus
    Ketawa dgn pelaut sepi Jonkidin Jaroi

    Tahniah buat semua barisan pelakon dan kesemua individu yg terlibat dlm teater ni..

     
  • At Saturday, May 06, 2006 10:26:00 AM, Anonymous ezza said…

    benar...pada awalnya watak pinkie kurang berkembang...tapi itu bukan alasan..

    kini saya benar-benar merindui wak merdeka..tua tapi berbudi keras tapi mengerti..
    merindui lenggok pinkie dan terbayang nyaring suara nyai sunarti...

     

Post a Comment

<< Home