LANTAI T. PINKIE

CINTA ANTARA MANUSIA TIDAK PERNAH MATI JIKA IA BENAR-BENAR JUJUR! BAGAIMANA PULA UNTUK MELIHAT KEJUJURAN ITU?

Monday, May 29, 2006

BERITA HARIAN , 26 MEI '06










Ada usaha untuk membawa pementasan ke beberapa negeri mulai Ogos sempena Hari Wanita

Nyawa’ T Pinkie Panjang
Oleh Zul Husni Abdul Hamid
BIARPUN menerima pelbagai reaksi, namun pementasan teater muzikal, Lantai T Pinkie yang dipentaskan di Istana Budaya dari 28 April hingga 7 Mei lalu meninggalkan kenangan manis kepada warga produksi yang menjayakannya.
Muzikal Lantai T Pinkie diangkat daripada karya besar Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said atau Pak Samad yang dibukukan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dipentaskan buat kali pertama pada 1996. Hingga ini, kehebatan naskhah itu masih diperkatakan malah sering kali dijadikan subjek perbincangan, forum dan wacana serta tesis intelektual dalam mengkaji kehidupan dekad 50-an.
“Sesuatu yang tidak terduga apabila Lantai T Pinkie mempunyai nyawa yang agak panjang. Saya tidak akan lupa kepada pengarah teater muzikal, Rosminah Tahir yang meyakinkan usaha ini kerana tanpanya agak sulit untuk direalisasikan,” kata Pak Samad ketika ditemui pada Majlis Terima Kasih Lantai T Pinkie, baru-baru ini.
Menurut Pak Samad, ketika diminta penerbit, Siti Rohaya Attan untuk mengolah skrip pementasan itu kepada teater muzikal dia sedikit ragu untuk melakukannya memandangkan bahasa genre itu agak berbeza.
“Ia di luar ‘kepintaran’ saya dan memberitahu Rohaya supaya mendapatkan penulis lain untuk mengolah skrip itu. Lantai T Pinkie yang asli bergantung kepada kekuatan skrip dan dialog tetapi apabila dipersembahkan dalam bentuk muzikal, ia mempunyai ‘lidah’ yang lain.
“Namun saya berterima kasih kerana banyak unsur dan sumbangan individu berwibawa yang lain untuk membawa muzikal Lantai T Pinkie menjadi sebuah pementasan yang menarik,” katanya.
Sehubungan itu, kata Pak Samad, dia tidak mahu Lantai T Pinkie hanya dilihat sebagai sebuah persembahan teater semata-mata. Sebaliknya, berharap seluruh kepintaran yang ada dalam pementasan itu dimanfaatkan oleh individu yang meminati seni.
“Seni adalah jambatan luar biasa yang masuk ke dalam diri individu lalu menjadikan hidup ini lebih indah kerana Lantai T Pinkie mempunyai larik yang munasabah,” katanya.
Lantai T Pinkie juga katanya, adalah rakaman peristiwa yang menghimpunkan cerita sedih dan gembira. Drama itu tidak hanya hidup di atas pentas semata-mata, tetapi turut membawa rezeki kepada insan seni lain.
“Saya berharap pementasan ini mempunyai ‘lantai’ yang luas di negeri lain atau ditayangkan di kaca televisyen. Kejayaan pementasan ini bukan usaha saya sendirian tetapi adalah hasil kerjasama umum,” katanya.
Teater muzikal Lantai T Pinkie menampilkan pelakon seperti Nasha Aziz, Zuhairi Ibrahim, Jalaluddin Hassan, Azizah Mahzan, Soong Ai Ling, Vanidah Imran, Safura Yaacob, Zaifri Husin dan Abby Abadi.
KEMBARA LANTAI T PINKIE:
HASIL perbincangan dengan beberapa pihak, impian Pak Samad untuk membawa pementasan ini mengembara ke negeri lain bakal menjadi kenyataan Ogos ini. Sempena sambutan Hari Wanita, teater muzikal itu akan menemui penonton di Perak, Pulau Pinang, Pahang serta kembali dipentaskan di Kuala Lumpur.
“Usaha ke arah itu kini serius dilakukan dan berkemungkinan semua pelakon yang terbabit dalam pementasan di Istana Budaya akan dikekalkan. Namun, semua ini bergantung kepada persetujuan masing-masing tanpa sebarang paksaan,” kata Rohayah.
Malah, katanya, mereka juga merancang untuk mengangkat karya besar yang mempunyai integriti itu ke medium baru iaitu filem.
“Perkara ini sudah lama dibincangkan dengan Pak Samad namun ia tidak semudah yang disangkakan. Kami tidak perlu terburu-buru kerana percaya ia akan menjadi kenyataan juga nanti,” katanya.
Rohayah berkata, karya besar seperti Lantai T Pinkie perlu disajikan kepada masyarakat terutama generasi muda agar mereka menyedari getir kehidupan masyarakat terdahulu.
“Usaha ini boleh dilakukan menerusi program Rakan Seni Budaya yang akan dilaksanakan di setiap lokasi persinggahan teater itu nanti,” katanya.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home