LANTAI T. PINKIE

CINTA ANTARA MANUSIA TIDAK PERNAH MATI JIKA IA BENAR-BENAR JUJUR! BAGAIMANA PULA UNTUK MELIHAT KEJUJURAN ITU?

Monday, September 11, 2006

UTUSAN MALAYSIA, 11 SEPT


Muzikal Lantai T.Pinkie temui peminat di Perak
Oleh ANI AWANG
DARI kiri Tania Zainal, Zuhairi Ibrahim, Vanida Imran, A. Samad Said, Rosminah Tahir, Habsah Nordin, Khatijah Tan dan Jalaluddin Hassan.

TEATER muzikal Lantai T.Pinkie karya Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said bakal menemui khalayak dari 15 hingga 17 September ini di Taman Seni Budaya, Ipoh, Perak.
Ini merupakan pementasan kelima Lantai T.Pinkie selepas pementasan di Kuala Lumpur pada 28 April hingga 7 Mei lalu. Pementasan pertama naskhah itu adalah pada tahun 1997.
Teater arahan Rosminah Mohd. Tahir itu dipentaskan di luar ibu kota sebagai memenuhi permintaan peminat teater di Perak yang ingin menghayati dan menyelami makna kemanusiaan dalam drama karya A. Samad Said itu.
A. Samad terkenal dengan karya-karya yang berunsur humanism dan penuh dengan konflik.
Teater yang berdiri atas realiti zaman muda A. Samad pada era 1950-an itu adalah sebahagian daripada zaman yang penuh dengan pahit dan getir.
Menurut Rosminah, latihan teater itu sedang giat dijalankan di Akademi Seni Budaya dan Warisan Malaysia (ASWARA) sejak 15 Ogos lalu.
“Para pelakon yang terlibat dalam persembahan lalu tidak menghadapi masalah untuk mengikuti latihan kerana mereka sudah biasa dengan lakonan masing-masing.
“Bagaimanapun, saya menawarkan watak T.Pinkie kepada Vanida Imran. Sebelum ini dalam teater muzikal, watak T. Pinkie dilakonkan oleh Nasha Aziz.
“Khatijah Tan pula ditawarkan watak Nyai Sunarti yang sebelumnya dipegang oleh Azizah Mahzan,” kata Rosminah pada sidang media Teater Lantai T.Pinkie di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Teater muzikal itu menggabungkan nyanyian, lakonan dan seni tari joget.
T.Pinkie merupakan kisah hidup lara perempuan joget di Singapura pada tahun 1950-an selepas Perang Dunia Kedua. Kehidupan mereka penuh lara kerana terpaksa melayani lelaki yang berkunjung ke kelab malam. Mereka bercakap tentang cinta, kasih sayang dan kehidupan tetapi tidak banyak yang dapat dilakukan pada zaman penuh air mata itu.
T.Pinkie ialah nama perempuan joget yang paling terkenal dengan kecantikannya di kelab Bunga Joget Moden. Dia sering menjadi buruan lelaki termasuk pemain akordian, Muhairi Tirus dan samseng bernama Gunjoloh.
Watak-watak lain dalam teater itu ialah Nyai Sunarti, Siti Udaya, Puteh Su dan Jongkidin.
Percuma
Rosminah berkata, pihaknya mementaskan teater itu di Perak kerana kerajaan negeri itu bersedia untuk menaja pementasan secara percuma.
Vanida Imran ketika ditemui melahirkan rasa gembira kerana diberikan watak T.Pinkie.
“Sebelum ini saya melakonkan watak Musalmah. Sebenarnya saya memang inginkan watak T. Pinkie dan akhirnya peluang itu datang kepada saya.
“Saya akan cuba membawa watak itu sebaik mungkin seperti mana pelakon-pelakon sebelum ini Tiara Jacquelina, Juhara Ayob dan Nasha Aziz,” tambahnya yang baru berlakon teater Wangi Jadi Saksi di DBP Kuala Lumpur baru-baru ini.
Jalaluddin Hassan pula berkata, dia telah memahami watak yang diberikan kepadanya. Ini memberikan keyakinan untuknya membuat yang terbaik pada pementasan kali ini.
“Saya memahami naskhah ini dan ia merupakan naskhah yang begitu menarik. Saya akan gunakan peluang ini untuk melakonkan sebaik mungkin watak itu,” katanya.
Penulis naskhah itu, A. Samad Said berterima kasih kerana Persatuan Penulis Wanita Malaysia (PPWM) dapat meneruskan pementasan di luar ibu kota.
“Pementasan di Ipoh akan memberi peluang kepada khalayak untuk memahami dan menghayati dunia joget pada zaman Jepun.
“Saya hidup pada masa itu dan saya menulis cerita mengenai bangsa kita pada zaman itu,” katanya.
Kata A. Samad, zaman perang itu merubah pemikiran dan kehidupan orang Melayu yang damai, tenteram dan statik kepada kejutan psikologi sehingga mereka tidak memiliki arah dan cita-cita.
Barisan pelakon yang menjayakan Lantai T.Pinkie ialah Vanida Imran (T.Pinkie), Mohd. Zuhairi Ibrahim (Muhairi), Mazlan Tahir (Muhairi Tirus Tua), Khatijah Tan (Nyai Sunarti Renko), Jalaluddin Hassan (Jongkidin Jaroi), Soong Ai Ling (Puteh Su Abdullah), Tania Zainal (Siti Udaya), Juhara Ayob (Musalmah Jiing), Zaifri Husin (S. Diman Lupti) dan Safura Yacob (Penyanyi).
Untuk maklumat lanjut mengenai pementasan itu sila hubungi Jabatan Kebudayaan Kesenian dan Warisan di Ipoh di talian 05-2537001 dan 05-2544635.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home